Saturday, July 24, 2010

*Maaf Lama Tidak Ketemu*

Salam kepada semua. Pertama sekali saya meminta maaf kerana telah lama tidak menulis di ruangan ini. Banyak kerja setiap hari ditambah pula tanggungjawab mengajar tahun peperiksaan memang membuatkan aktiviti seharian penuh.
Banyak aktiviti mahupun peristiwa berlaku sepanjang saya tidak meng-update ruangan ini. Antaranya:

1) Perayaan Pra Gawai (Gayu Guru Gerai Nyamai) peringkat SK Long Segaham yang telah diadakan dengan gilang-gemilang pada 22 May 2010 yang lalu. Antara aktiviti yang diadakan ialah Gotong Royong Perdana, Mesyuarat Tahunan PIBG SKLS 2010, sukan rakyat antara staf sekolah dan ibu bapa, dan majlis penutupan pada sebelah malamnya diserikan lagi dengan kehadiran penyanyi jemputan.

2) Seorang guru SK Long Segaham, En. Zulfadli telahpun berpindah ke negeri Selangor (SK Bukit Raya, Hulu Langat) pada sesi perpindahan bulan Jun yang lalu. Ucapan selamat berpindah diucapkan kepada beliau dan semoga sukses menjalankan tanggungjawab di sekolah baru. (*aku ntah bila la plak..hehe..)

3) Cuti Persekolahan Semester 1 selama 3 minggu memang sesuatu yang menyeronokkan. Manakan tidak, keistimewaan ini hanya dirasai oleh guru-guru di negeri Sarawak dan Sabah sahaja kerana kebetulan perayaan Hari Gawai dan Pesta Menuai disambut seminggu sebelum cuti sekolah bermula. Kesempatan cuti ini telah pun dimanfaatkan sebaiknya menyelesaikan perkara-perkara yang perlu dilakukan sempena menanti hari bahagia.  (',')

4) Pada 11 Julai yang lalu merupakan Ulangtahun Kelahiran insan teristimewa iaitu Norhanifah Bt Mohd Yazid yang ke-26. Selamat Hari Jadi dan semoga dipanjangkan umur serta dimurahkan rezeki diucapkan kepada beliau. Bersempena itu, saya pun telah terbang pulang ke semenanjung pada 16 Julai yang lalu untuk meraikannya. SELAMAT HARI JADI SAYANG!



Begitulah serba sedikit peristiwa yang telah berlaku menjadi satu catatan dalam perjalanan hidup yang singkat ini.

Apa yang saya ingin kongsikan pada kali ini ialah berkenaan keperluan asas yang perlu dipenuhi. Ceritanya begini, telah pun dikhabarkan hampir seluruh sekolah di negeri Sarawak yang menggunakan generator untuk menjana bekalan elektrik terpaksa manghadapi catuan bekalan elektrik. Hanya 12 jam diperuntukkan untuk 1 hari manakala 12 jam lagi terpaksa berpanas dan bergelap tanpa bekalan elektrik.
Apa yang menghairankan pihak kontraktor memberi jawapan kontrak sudah tamat. Perkara sebegini telah berlaku beberapa kali sejak awal tahun lagi. Kenapa perlu membuat kontrak sekejap-sekejap (3 bulan sahaja)? Selaku penjawat awam kita patut menerima keadaan ini.. pasrah. Mungkin pihak kerajaan kekurangan sumber kewangan buat ketika ini. Itulah yang dapat digambarkan. Namun, apa yang membuatkan saya tergerak hati untuk menulis kali ini ialah dapat dilihat dan dibaca di mana-mana sumber mengwar-warkan pelbagai program baru berkaitan pendidikan khususnya. Pelbagai perubahan dirancang hendak dilakukan namun pernahkah anda terfikir kemudahan asas yang wajib disediakan pun belum dapat diselenggara dengan baik? Bagaimana hendak menjalankan program-program tersebut kalau asasnya pun tidak kuat.
Bukan niat saya hendak menuding jari kepada sesiapa, cuma ingin berkongsi pandangan dari orang yang berada di bawah yang melihat ke atas. Yang di atas memang perlu memandang ke bawah tetapi perlu juga turun ke bawah untuk memandang ke atas bersama-sama. Baiklah, kita tutup ini cerita.

Memandangkan kita bakal memasuki bulan Ogos, di sini saya ingin mengingatkan anda semua dua perkara. Pertamanya, marilah kita bersama-sama menghayati semangat kemerdekaan bersempena kita memasuki Bulan Kemerdekaan. Tunjukkan yang kita amat berbangga dengan MALAYSIA.
Dan yang keduanya ialah ketibaan bulan Ramadhan Al Mubarak yang dijangka pada 11 Ogos nanti. Bolehlah praktis-praktis puasa sunat pada bulan Syaaban ini sebagai persediaan kita menjalankan kewajipan di bulan Ramadhan nanti serta mengambil berkat bulan Syaaban. Dan kepada yang belum selesai melangsaikan hutang-hutang puasa yang lalu eloklah disegerakan takut-takut nanti bertemu Ramadhan dengan hutang puasa masih tertangguh. Siapa yang susah?

Akhir sekali, saya sertakan gambar-gambar yang saya rasakan menarik untuk dikongsi bersama. Wassalam hingga berjumpa lagi. Bye!

Jabatan Pelajaran Sarawak

Kasut Sekolahku

Night at Segaham

Jalan Yang Lurus

Sekolahku Rumahku

Warna-warna Kehidupan

Hong (Bahasa Kayan) = Topi

Air Sungai Naik

Ada Apa Dengan Bulan Ogos?